KOTA BHARU, 14 Jan (Hrkh) - Mengambil kira kesengsaraan yang menimpa umat Islam di Palestin, kerajaan Kelantan memberi komitmen menyumbang sehingga RM1 juta bagi membantu mangsa kekejaman rejim haram Israel.
Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan, Dato� Husam Musa berkata, jumlah berkenaan akan dikutip melalui agensi-agensi di bawah kerajaan negeri.
"Kerajaan negeri akan memberi sumbangan minimum sebanyak RM1 juta pada malam program Sumbangan Derma Seberapa Banyak Untuk Rakyat Palestin 23 Januari ini.
"Sumbangan itu bukan sahaja dari perbendaharaan negeri tetapi juga melalui agensi-agensi milik kerajaan negeri. Selain itu derma juga dikutip daripada orang ramai," katanya di sini hari ini.
Pada 23 Januari ini kerajaan negeri akan menganjurkan program khas bagi membantu mangsa kezaliman Israel bertempat di Stadium Sultan Muhammad ke-IV.
Husam yang juga Naib Presiden PAS berkata, kerajaan negeri akan menghantar rombongan ke Mesir untuk mengenali pasti keperluan mangsa-mangsa keganasan Yahudi di Palestin.
Katanya pada tinjauan itu sekiranya didapati mangsa-mangsa memerlukan ubat, maka duit yang diderma pelbagai pihak di sini akan digunakan untuk membeli bekalan ubat.
Beliau juga berharap orang ramai hadir pada program Sumbangan Derma Seberapa Banyak Untuk Rakyat Palestin sambil menghulurkan derma.
"Jika ramai orang menderma dan dicampur sumbangan kerajaan negeri serta agensi kemungkinan lebih RM1 juta dapat dihantar membantu rakyat Palestin," ujarnya. - mj
No comments:
Post a Comment