Sila klik gambar di bawah untuk melihat koleksi-koleksi Misi Cakna Palestin

Wednesday, January 14, 2009


Solat Hajat Perdana untuk rakyat Palestin


ALOR PASIR - Lebih 1,000 membanjiri dataran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Pasir di sini pagi semalam bagi mengadakan Solat Hajat Perdana dan kutipan derma membantu mangsa kekejaman Israel di bumi Palestin.


Program anjuran bersama Panitia Pendidikan Islam dan Jawatankuasa Pembangunan Insan sekolah bermula seawal jam 8 pagi itu dihadiri pelajar dan kakitangan sekolah berkenaan.


Setiausaha Unit Pem-bangunan Insan dan Musalla SMK Alor Pasir, Sanusi Yusof berkata, selain solat hajat turut diadakan demonstrasi mengutuk kekejaman rejim Zionis terhadap Palestin yang dipimpin Penolong Kanan, Mohd Hanuzin Zaharin.


Menurut Sanusi, selain membantu umat Islam yang menderita di Palestin, program itu diadakan bersempena dengan awal tahun pengajian dalam usaha menjana umah gemilang.

Katanya, program itu juga diadakan bagi mendidik pelajar sekolah berkenaan ke arah kecemerlangan dalam pelajaran dan berakhlak mulia.


“Tujuan kita adakan program ini ialah untuk menjana umah gemilang, selain memulakan sesi persekolahan 2009 dengan penuh keberkatan lagi, seterusnya mendidik pelajar.


“Selain itu, mereka juga diharap akan lebih peka terhadap masalah kemanusiaan yang berlaku di seluruh negara sama ada jauh atau dekat,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.


Sanusi turut mengucapkan terima kasih kepada Ketua Sektor Pendidikan Islam yang telah banyak memberikan sumbangan kepada Kelas Aliran Agama (KAA) sekolah berkenaan.


“Terima kasih juga kepada semua pihak yang telah memberikan kerjasama bagi menjayakan program pada hari itu,” katanya Sekolah yang begitu aktif dalam mengadakan program ke arah menjana kecemerlangan pelajar dan kakitangan kini diterajui Jasbi Mohd Sam selaku pengetua.


Sementara itu, Sinar Harian difahamkan hasil kutipan derma yang dibuat dalam kalangan pelajar dan kakitangan sekolah berkenaan sebanyak RM1,426.20 dan wang tersebut akan disalurkan ke Tabung Aman Palestin

.

SANUSI YUSOF

Pelajar dan kakitangan SMK Alor Pasir beramai-ramai menunaikan solat hajat .

No comments:

Post a Comment