Sila klik gambar di bawah untuk melihat koleksi-koleksi Misi Cakna Palestin

Thursday, January 22, 2009

Wakil Hamas Serikan Program

Majlis Pelancaran Tabung Amanah Cakna Palestin yang akan diadakan pada malam 27 Muharram 1430 menjanjikan satu kehebatan apabila turut disertai oleh wakil daripada Hamas.

Wakil Hamas, Sami Abu Zuhri akan berucap pada majlis itu menceritakan pengalaman perang yang penuh menyayat hati akibat kezaliman Israel sepanjang 22 hari di Gaza.

Program itu akan diadakan di Stadium Sultan Mohamad Ke IV bermula solat Maghrib, zikir munajab, solat hajat dan Isya'.

Penolong pengarah program terbabit, Dato' Takiyuddin Hassan berkata, program itu akan dirasmikan Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dan dijangka sebanyak RM3 juta dapat dipungut pada majlis terbabit.

"Jumlah tersebut termasuk sumbangan kerajaan negeri sebanyak RM1 juta, di samping agensi-agensi di bawahnya, pelajar sekolah, NGO, individu dan syarikat swasta," ujarnya di sini semalam.

Menurutnya juga pada 24 Januari ini seramai empat ahli rombongan akan menghantar sumbangan yang diterima ke Palestin bagi manfaat mangsa-mangsa perang.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri berkata, pelbagai acara menarik diadakan sempena majlis itu.

Antaranya ceramah daripada wakil-wakil pemimpin politik, PAS, DAP, BN dan KeADILan. Selain itu wakil-wakil kaum iaitu Cina, India dan Siam.

Acara lain iaitu deklamasi sajak oleh Persatuan Penulis Kelantan (PPK), pentomin yang menggambarkan gimik pelancaran tabung amanah dan persembahan nasyid oleh Kumpulan Raihan.

Takiyuddin berkata, program sebenar bermula jam 5.30 petang di Dataran Stadium yang dimulai dengan acara 'speaker corner' dan persembahan sajak oleh penulis PPK.

Selain itu tabung-tabung derma juga dilancarkan di pusat-pusat membeli belah utama termasuk masjid di negeri ini.

Pameran dan pungutan derma diadakan di Tesco, KB Mall dan Mydin bermula 13 hingga 27 Januari ini.

Oleh itu beliau berharap orang ramai di negeri ini tanpa mengira fahaman politik, agama dan bangsa hadir pada majlis tersebut sebagai menyatakan simpati terhadap nasib umat Islam di Palestin. - mj _

No comments:

Post a Comment